Rabu, 16 Julai 2014

Banglo lama di ladang sawit



Malam tu Parjo pulang lewat. Leka berborak dengan teman-teman di sebuah rumah kongsi di ladang sawit yang lebih kurang sepuluh kilometer dari rumahnya.

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Suasana begitu gelap. Bulan bintang tidak kelihatan di langit.

Parjo dengan perlahan memandu kapcai buruknya melalui lorong kecil di ladang sawit berkenaan. Hujan gerimis mula turun. Hatinya cemas, takut-takut hujan akan semakin lebat. Minyak dipulas sedikit, kapcai bertambah laju.

Setibanya di satu selekoh, terpandang lah oleh Parjo akan sebuah banglo yang cantik, terang benderang sehingga menyilaukan mata Parjo yang sejak tadi melihat lorong disinari cahaya lampu kapcainya yang malap. Bila melalui lorong di tepi banglo tersebut, Parjo sempat menoleh. Seorang wanita berambut panjang mengurai, berpakaian cheongsam merah berdiri tegak di depan pintu sambil memandang tepat ke arahnya.

Tanpa menghiraukan apa-apa, dalam hujan gerimis itu Parjo meneruskan perjalanan. Hanya beberapa ketika kemudian baru Parjo teringat: "Ehh.. yang ada kat situ kan cuma sebuah banglo buruk yang dah puluhan tahun ditinggalkan kosong. Macamana pulak malam ni boleh nampak terang berseri-seri? Sape pulak perempuan tu?!! Hiii.."

Dengan tak semena-mena bulu tengkuk Parjo terasa meremang, dadanya berdebar-debar. Tanpa bertempoh, jam tu juga Parjo memecut. Bukan main laju kapcainya. Sampai di hujung lorong di simpang ke jalan utama, Parjo tidak memberhentikan motornya. Main konar baring je bagaikan seorang pelumba. Hampir saja terbabas. Namun Parjo terus berdezub dengan motosikalnya hingga la sampai ke rumahnya.

Sejak kejadian itu Parjo serik untuk melalui lorong berkenaan pada lewat malam.

- Cerita di atas ni hanya cerita hiasan. Sebenarnya aku nak paparkan gambar-gambar banglo terbiar ni.

Gambar banglo lama di ladang sawit, ku rakam di Bt 7, Jalan Bakri.


Klik gambar, biar jelas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan